Current song:

Belasungkawa Bob Kuman: Hembus nafas terakhir dalam tidur

GURAUAN keterlaluan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan berita palsu mengenai kematian pelawak, Bob Kuman menerusi laman sosial, twitter, pesanan Blackberry (BBM) dan facebook (fb) pada 21 April lalu, akhirnya menjadi kenyataan petang kelmarin.
Bob atau nama sebenar, Husni Mohd Rawi, 40, menghembuskan nafas terakhir dalam tidur di rumahnya di Seksyen 11, Kota Damansara, jam 4.38 petang akibat sesak nafas dan komplikasi pelbagai penyakit. 
Sejak penghujung tahun lalu, Bob terpaksa berehat panjang selepas berdepan masalah kesihatan kritikal yang memerlukan dia menggunakan bekalan oksigen. Dia yang menjalani penggambaran drama Jangan Pandang Belakang Congkak ketika itu terkena miang buluh memasuki hidung sehingga mengalami pendarahan banyak. 


Namun penderitaan yang dialaminya berakhir apabila Bob kini sudah pergi buat selamanya. Pemergian pelakon benar-benar dirasai kerana impak lakonannya sentiasa berbekas sejak menjadi anak wayang.
Sepanjang aktif dalam bidang seni, arwah sempat membintangi 12 filem dalam tempoh 17 tahun. Bermula Sama Tak Serupa pada 1995 diikuti Gemerlapan (1997), Raja Melewar (1998), Dari Jemapoh Ke Manchestee (2001), Bob juga dikenali menerusi Jutawan Fakir (2003), Orang Minyak (2007), Brainscan: Aku Bukan Topi Ajaib (2008), Kapoww!! dan Jangan Pandang Belakang Congkak (JPBC 2009) dan JPBC 2 (2010), Papa I Love You (2011) serta Shh.. Dia Datang arahan rakan baiknya, Saiful Apek yang belum lagi ditayangkan.




Pengarah Profesor Madya A Razak Mohaideen antara rakan lama yang menawarkan peluang berlakon pada peringkat awal turut merasai kehilangan arwah yang disifatkan pelakon bersungguh-sungguh dan komited pada kerja. 


“Agak lama saya tidak berjumpa dengannya beberapa bulan lalu. Namun sepanjang saya mengenalinya dia seorang yang cukup bersemangat ketika bekerja dan menepati masa di lokasi penggambaran. 


“Saya sendiri selesa bekerjasama dengan arwah dan selepas saya melihat bakatnya dalam Gemerlapan, saya memberi peluang padanya untuk muncul pula dalam Jutawan Fakir. 


“Dia pernah bercerita masalah kesihatannya dan akibat masalah berat badan, pergerakannya terbatas. Sebelum ini saya ada berhasrat menawarkannya berlakon tetapi dia sibuk dengan komitmen lain,” katanya ketika dihubungi Rap. 


Pengacara popular, Aznil Nawawi terkejut dengan kehilangan arwah disifatkan sebagai adik-beradik ketika mereka menyertai kumpulan selebriti popular Hero Malaya. 


Katanya, dia bersama Bob banyak berhubung menerusi BBM walaupun jarang berjumpa. Menerusi perbualan, Aznil juga bertanyakan perkembangan kesihatan arwah dan komen ketika arwah menyertai program Maharaja Lawak terbitan Astro. 


“Hubungan kami dengan artis yang terbabit dalam Hero Malaya sangat rapat seperti satu keluarga. Menerusi BBM, ia menjadi platform untuk kami semua dalam kumpulan ini berhubung. 


“Ketika Maharaja Lawak, dia ada meminta saya membeli topi yang dijualnya. Begitu juga, di awal penubuhan Hero Malaya ia sebenarnya bertujuan membantunya untuk membiayai kos rawatannya yang tertunggak. 


“Dalam aktiviti yang kami jalankan sebelum ini, sebanyak RM40,000 dapat disumbangkan kepadanya. 


“Namun,kesihatan yang berlarutan membuatkan kos rawatannya tinggi,” katanya. 


Mungkin tidak ramai yang tahu Aznil bersama arwah pernah berlakon sama dalam filem Sama Tak Serupa arahan Yuzwan Wahid pada 1995. 


Aznil yang turut sedih dengan pemergian arwah berhasrat mengadakan perbincangan antara ahli kumpulan Hero Malaya mencari jalan mengumpul sumbangan untuk balu arwah. 


Pengarah filem Jangan Pandang Belakang Congkak 1 dan 2, Ahmad Idham Ahmad Nadzri juga memuji sikap arwah bersemangat ketika bekerja membuat orang sekeliling menghormatinya. 


“Atas sambutan penonton pada JPBC pertama, dia terus berlakon JPBC2 yang mencuit hati penonton dengan watak bomoh bersuara halus. 


“Saya melihat dia seorang yang serius dalam bekerja dan tak mahu orang lain kasihan dengan keadaan dirinya. 


“Berat badan membuatkan pergerakannya terbatas tetapi dia berusaha juga mencari rezeki dengan berlakon. 


“Ketika terbabit dengan penggambaran Brainscan: Aku Bukan Topi Ajaib, dia kelihatan masih boleh berjalan. 


“Sebaliknya, ketika penggambaran JPBC2, dia tidak boleh banyak berjalan sehingga solat dalam keadaan duduk dan perlu menjaga pemakanan. 


“Saya faham kepayahan dirinya berjuang dengan diri sendiri tetapi pada masa sama, saya juga terkejut dengan semangatnya yang kuat untuk terus bekerja,” katanya dengan sedih. 


Malam kelmarin, jenazah Allahyarham dibawa pulang ke kampungnya iaitu di Kampung Sega Tengah, Kuala Sawah, Rantau, Negeri Sembilan untuk dikebumikan. 


Warga Harian Metro mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama golongan beriman. Amin...